~ MaDAh pEnA UsaNG ~

::.. Semarakkan Perjuangan Kembalikan Keizzahan ..::

12:56 PM

SEANDAINYA KAU MEMAHAMI….. (BHGN 1)

Posted by shoutulizzah

Seawal jam 7.40 pagi Fatimah sudah sampai di kawasan meletak kereta di depan Bank Rakyat. Dari tingkap kereta, dia melemparkan pandangan ke luar. Dada langit yang kebiruan kelihatan damai. Disinari pula dengan cahaya matahari yang baru naik menunjukkan wajah. Fatimah menarik nafas dalam-dalam lalu menghembusnya perlahan-lahan. Ketenangan menjadi miliknya. Namun, sekejap sahaja hatinya dibuai rasa sayu. Memori silam duka datang menjengah kembali walaupun sedaya upayanya cuba dikikis dan ditepis. Luka di hatinya masih belum sembuh. Hanya kepada Allah dia sandarkan segala kesedihan dan memohon diberi kekuatan. Mujur juga dia masih punya keluarga yang masih mahu menerimanya saat dunia menyisihkannya. Benarlah kata orang bahawa orang berjuang sering menangis lemah di sisi Allah tapi Allah kuatkan dia di sisi manusia. Berjuanglah hanya kerana Allah, berbahagialah duhai hati walaupun payah kerana itulah jalan menuju ke Jannah. Perjalanan hidup tak selalunya indah. Walau pahit dia harus redha dengan ketentuanNya dan menerima hakikat bahawa hubungannya dengan Hasbullah sudah berakhir.

Fatimah meraup mukanya dengan kedua belah telapak tangannya, lama. Duka silam cuba diusirnya jauh-jauh. Apalah diharap pada kenangan. Masa tidak boleh diputar kembali ke belakang. Apa yang penting pandang ke hadapan, membuka lembaran baru kehidupan. Demi maruah dan harga diri, dia perlu kuatkan semangat. Sudah banyak kuarganya berkorban demi untuk ’menghidupkannya’ kembali berdepan dengan realiti kehidupan. Masih banyak lagi perjuangan yang menanti, masih banyak lagi ranjau kehidupan yang perlu ditempuhi. Telah banyak air matanya dibazirkan selama ini. Untuk sekian kalinya lagu ’Menangislah Di Bahuku’ beralun-alun dalam hati Fatimah.


Menangislah …
Kadang manusia terlalu sombong tuk menangis
Lalu untuk apa air mata telah dicipta
Bukan hanya bahagia yang ada di dunia.

Jatuh bangun adalah resam kehidupan. Itulah harga kehidupan yang perlu dibayar saat manusia dilahirkan ke dunia. Ikrarnya, dia takkan jatuh untuk kali kedua. ”Argh!” Fatimah melontar rasa terkilan. Datang bersendirian, lantaran itu dia bebas melakukan apa sahaja. Dia bingkas keluar dari kereta. Kalaulah boleh, ingin sahaja dia campakkan duka lalu di dalam tong sampah tetapi Fatimah sedar dia mengharapkan sesuatu yang mustahil. Dibiarkan duka itu mengekori langkahnya, seperti bayang-bayang tidak boleh dipisahkan. Fatimah yakin suatu hari nanti duka itu akan larut dalam lautan masa. Ya.. suatu hari yang Fatimah tidak tahu entah bila. Sebelum saat masa itu tiba, dipenuhi hari-harinya itu dengan timbunan kerja, tanggungjawab kepada keluarga dan badan NGO yang disertainya (NISA’).

Langkah terus disusun menuju pintu masuk Bank Rakyat. Seperti biasa, rutin hariannya memberi salam kepada sesiapa saja yang berselisih dengannya. Ramai yang senang dengan sikap dan perwatakannya. Namun dalam kemesraaan itu, ada juga yang tidak senang dan dengki dengannya. Dia sudah bekerja di Bank Rakyat selama hampir 2 bulan setelah dia menamatkan latihan praktikalnya di situ. Pelbagai ragam manusia ditontonnya setiap hari. Baik dari pekerja mahupun pelanggan yang bertandang ke sini. Malahan ramai juga kenalan yang dia dapat ketika memulakan praktikalnya di sana seperti Kak Ina, Kak Zetty, Encik Mahfuz, Encik Zakaria dan yang paling rapat dengannya ialah Aishah. Mereka semua sangat peramah dan tidak prejudis terhadapnya seperti sesetengah mereka yang lain. Dia tidak pernah berasa terasing apabila bekerja di sana. Dia sangat bersyukur dan beruntung kerana sering menerima layanan yang baik ke mana saja dia pergi.

11:44 AM

Sempadan.. Mengongkong dan terkongkong..

Posted by shoutulizzah

Macam-macam kerenah manusia hari ini.. macam-macam perangai.. macam-macam tabiat.. macam-macam rupa.. itulah variasi manusia yang Allah ciptakan.. Bak kata pepatah Melayu, 'rambut sama hitam, hati lain-lain'. Fenomena hari ini sudah tidak sama lagi, rambut dah tak sama hitam. Kebanyakan hari ini cuba ingin menjadi sebaliknya. Meniru orang lain. Yang Melayu ingin menjadi oghang puteh. Rambut yang hitam diwarnakan jadi wana hijau, merah, biru, perang, kuning. Pakaian yang dipakai pula tak cukup kain.. kecik dan ketat macam baju saiz kanak-kanak. Kalau diukur dari segi kemampuan kebanyakan orang hari ini, cukup mampu untuk membeli pakaian mengikut saiz badan malah berlebih-lebih kain. Tapi mereka memilih untuk membeli pakaian saiz adik-adik dan anak-anak mereka.

Yang selama ini hidup kat bumi Malaysia, percakapan seharian dalam Bahasa Melayu.. memilih untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris. Meniru sleng oghang puteh. Yang tak pandai cakap pun, buat-buat pandai kerana takut digelar kuno. Mungkin banyak terpengaruh dengan rancangan televisyen.."I sound sillly when I speak in Malay you know?". Lemah dalam Bahasa Inggeris menyebabkan negara mundur, tidak mampu untuk maju, ekonomi tak akan berkembang. Ye ke? Ye.. tapi bukan secara keseluruhannya. Jepun masih mampu maju dengan mengagungkan bahasa ibundanya. Mereka yang ingin belajar, yang ingin melabur dan berurus niaga, yang ingin menetap di Jepun, kesemuanya terlebih dahulu perlu sedikit sebanyak belajar bahasa Jepun. Buku-buku pelajaran di sana juga masih menggunakan bahasa Jepun. Hari ini Jepun mampu menjadi salah sebuah negara yang moden, maju dan ekonominya juga pesat. Pelajar-pelajarnya juga adalah antara yang terbaik. Keluaran barangannya juga adalah yang terbaik, terkenal seluruh dunia, mampu dipasarkan di pasaran antarabangsa dan turut mampu bersaing dengan negara-negara pengeluar besar yang lain(Amerika antaranya). Malah mereka lebih berjaya dari Malaysia sedangkan dahulu negaranya lebih mundur dari Malaysia selepas Perang Dunia Kedua. Jadi mengapa kita tidak mengambil Jepun sebagai rujukan sebaliknya terus menggagungkan bahasa asing, English? Mengapa had-had ini diwujudkan sedangkan jelas terbukti ianya tidak menyekat sebarang perkembangan.

Mengapa kita begitu mengagungkan bahasa luar? Muzik luar? Terikut-ikut dengan budaya luar? Meniru cara kehidupan mereka? Sedang mereka tidak pernah untuk meniru apa-apa daripada kita malah perkara-perkara tersebut lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan. Malah kita punya lebih banyak perkara yang boleh dibanggakan dari negara luar.

Berlaku situasi lain pula di mana sesetengah had/sempadan diletakkan. Kalau pergi interview atau ingin dapat keje jangan pakai tudung labuh, jangan pakai kopiah, songkok dan sebagainya. Jangan berkerudung sangat (tertutup), tak fashionable, nanti tak de orang nak. Waktu orientasi jangan pakai tudung labuh nanti freshie takut nak dekat. Macam-macam pandangan dan persepsi. Saya tidak menyatakan ianya salah 100%, mungkin ianya sebagai langkah berjaga-jaga tetapi tanpa kita sedar atau tak, sebenarnya sempadan-sempadan itu tak wujud langsung bagi sesetengah situasi atau tempat tapi kita sebenarnya yang mewujudkan sempadan itu. Bagi saya selagi mana ada kelonggaran, selagi mana had/sempadan itu tidak wujud maka teruskan dengan apa yang ingin kita lakukan. Kenapa? Kerana setelah had itu telah diwujudkan, adakah kita masih berpeluang melakukannya? Jangan kita terlalu beri perhatian dengan persepsi masyarakat sehingga menghadkan tindakan dan mengongkong pemikiran kita kepada konteks yang lebih luas.

Semua ini hanya dunia semata...

11:34 AM

JOM ke Konsert

Posted by shoutulizzah


Haa... konsert yang menggabungkan 4 kumpulan nasyid ternama...
Rugi kalau tak pergi...
Harga tiket murah dan berpatutan..
Moh kita pakat g ramai-ramai, memeriahkan konsert nasyid...
Ajak kawan-kawan, ayah, mak, kuarga, sume saudara mara lah..
Sure heboh punya.. =)

7:06 PM

CINTA... FITRAH atau FITNAH?

Posted by shoutulizzah

Apa ada dengan cinta? Apa itu cinta? Pada sape cinta perlu disandarkan? Cinta itu buta ke? Cinta itu membawa padah? Perlu ke cinta itu? Dan bermacam-macam lagi persoalan mengenai cinta...

Cinta itu suatu yang subjektif dan terbit bila ada rasa kasih, suka, sayang terhadap seseorang itu. Cinta bukan hanya disandarkan kepada seseorang yang ingin dijadikan pasangan hidup, cinta boleh dizahirkan kepada ibu bapa, adik, kakak, saudara mara, rakan-rakan, tumbuhan, binatang dan yang paling utama adalah Allah Yang Esa. Konteks dan definisi cinta itu terlalu luas untuk ditafsirkan tetapi semakin hari ruang lingkup cinta ini disempitkan. Bila berbicara mengenai cinta, kebanyakan pemuda pemudi hari ini menafsirkan cinta itu kepada dua orang yang saling menyukai, saling menyayangi dan berjanji setia hidup dan semati bersama. Tafisran sebegini terus disebarluaskan dan ditanam oleh dunia Barat selaku wadah pemikiran doktrinisasi pemikiran muda mudi sekaligus terus menghayutkan dan melalaikan mereka. Sedang mereka ini golongan pelapis, tetapi golongan ini la yang semakin menipis, dikikis dan terhakis ditelan keseronokan cinta...

”Salah ke cinta tu? Berdosa ke orang yang bercinta tu angah?”, teringat kembali pertanyaan adik suatu ketika dulu. ”Em... cinta itu tak salah, bercinta juga tak salah..”. ”Aiks?.. tak salah angah? Tapi...”, menggaru kepala tanda kepeningan. Hee, lawak betul lihat gelagat dia.. tapi bagus dia bertanya dan cuba ingin memahami. Cinta itu tak salah kerana ianya FITRAH yang Allah ciptakan kepada setiap hambanya. Kalau cinta itu salah, maka secara tak langsung kita bersetuju penciptanya juga salah kerana mewujudkannya. Bercinta juga tidak salah sekiranya ia disandarkan kepada yang berhak. ”Kalau cinta tak salah, bercinta pun tak salah.. siapa yang salahnya? Ustazah larang bercinta..”tanya adik yang masih tak berpuas hati. Orang yang bercinta itu salah. Pesalah cinta itu bersalah bilamana dia membiarkan nafsu mengawal dirinya, menyandarkan cinta itu tidak kepada yang selayaknya, menyebabkan ia ’buta’ secara batinnya dan akhirnya ’gelap’lah dunianya, yang tinggal hanya mereka berdua. Paling kritikal lagi sekiranya segala nasihat dan peringatan tak diendahkan lagi. Malah ada yang sanggup menggadaikan maruah, menderhaka pada ibu bapa, meninggalkan kuarga dan meninggalkan agama demi cinta. Na’uzubillah hi minzalik....

Sayu dan luluh hati ibu bapa yang melihat jasanya membesarkan anak selama ini ’terbalas’. Banyak kes-kes murtad yang melibatkan cinta terjadi sebelum ini seperti kisah Natrah, Aisyah Bukhari, Lina Joy dan ramai lagi. Kisah-kisah ini dibuka bukanlah dengan niat untuk mengaibkan mereka tetapi sebagai peringatan dan pengajaran kepada semua. Perkara-perkara dan tragedi seperti inilah yang menjadikan FITRAH itu kepada FITNAH... Jadi adakah salah pencipta FITRAH? Salahkah FITRAH itu wujud? Saya lontarkan persoalan itu kepada pembaca untuk menilainya sendiri. Ianya seperti analogi penciptaan pistol. Ramai orang menyalahkan pencipta pistol. Ramai juga menyalahkan kewujudan pistol. Kerana adanya pistol, maka wujudlah penjenayah, wujudlah kes jenayah, wujudlah pembunuhan dan bermacam lagi. Tapi adakah pistol itu salah? Peluru tak akan terbang menghinggap mangsanya sekiranya picu pistol itu tidak ditekan. Maka, orang yang menggunakan pistol itu, yang menekan picunya itu yang salah. Anda bersetuju? Jadi saya sama sekali sangat tidak bersetuju kepada mereka yang menyalahkan FITRAH/pistol.

Mengapa? Kita berbalik kepada persoalan mengapa wujudnya setiap sesuatu itu. Setiap yang dicipta pasti ada tujuannya. Allah mencipta CINTA supaya semua hambaNya saling mengasihi, saling menyayangi. Jika tiada cinta maka porak perandalah bumi ini, manusia saling bermusuhan dan akhirnya pelbagai bencana wujud. Pistol pula dicipta sebagai perlindungan diri dan salah satu cara untuk mempertahankan diri mengikut arus pembangunan kini. Jika salah penggunaannya maka buruklah akibatnya. Setiap perbuatan bermula dengan niat. Jika baik niat, maka baiklah juga hasil perbuatannya. Maka, jika anda ingin bercinta, bercintalah dengan suami/isteri anda, zahirkanlah cinta kepadanya. Cinta juga bukan hanya sekadar membuta tuli, tapi pilihlah pasangan anda kerana 4 perkara;

kerana agamanya,
kerana keturunannya,
kerana hartanya,
kerana kecantikannya,
maka pilihlah yang memiliki agama,
nescaya sejahtera hidupnya.

Sebagai peringatan bersama, gunakanlah FITRAH yang diberikan itu dengan sebaiknya sehingga melahirkan umat Muhammad yang majmuk dan berguna, InsyaAllah.

7:02 PM

..Langkah Bermula..

Posted by shoutulizzah

Ahlan Wasahlan.... Selamat Datang…. Welcome….

SALAM PERJUANGAN..SALAM PERANTAUAN..SALAM UKHWAH…

Kepada semua pengunjung blog ni…. Syukran kerana sudi mengunjungi ke blog ini walaupun sekadar singgah... beri-ribu terima kasih ana ucapkan.. Ini blog yang ketiga dibangunkan setelah dua blog sebelum ini tak aktif, tak update dan yang paling teruk sekali ana tak ingat apa alamat blog dan kata laluannya.. hee.. Mungkin terlalu banyak perkara dalam kepala ni untuk difikirkan, selain mungkin termakan semut agaknya... Blog ini dibangunkan sebagai wadah untuk mencurahkan luahan, isi hati, pemikiran, pendapat, pandangan persendirian yang mungkin boleh dikongsi bersama pengunjung blog ni, insyaAllah... Segala bentuk komen, respon dan kritikan diterima, tiada masalah..

Akhir kalam, semoga berpuas hati mengunjungi blog ni dan selepas datang berkunjung, harapnya datang la lagi yer.. =)