~ MaDAh pEnA UsaNG ~

::.. Semarakkan Perjuangan Kembalikan Keizzahan ..::

12:56 PM

SEANDAINYA KAU MEMAHAMI….. (BHGN 1)

Posted by shoutulizzah

Seawal jam 7.40 pagi Fatimah sudah sampai di kawasan meletak kereta di depan Bank Rakyat. Dari tingkap kereta, dia melemparkan pandangan ke luar. Dada langit yang kebiruan kelihatan damai. Disinari pula dengan cahaya matahari yang baru naik menunjukkan wajah. Fatimah menarik nafas dalam-dalam lalu menghembusnya perlahan-lahan. Ketenangan menjadi miliknya. Namun, sekejap sahaja hatinya dibuai rasa sayu. Memori silam duka datang menjengah kembali walaupun sedaya upayanya cuba dikikis dan ditepis. Luka di hatinya masih belum sembuh. Hanya kepada Allah dia sandarkan segala kesedihan dan memohon diberi kekuatan. Mujur juga dia masih punya keluarga yang masih mahu menerimanya saat dunia menyisihkannya. Benarlah kata orang bahawa orang berjuang sering menangis lemah di sisi Allah tapi Allah kuatkan dia di sisi manusia. Berjuanglah hanya kerana Allah, berbahagialah duhai hati walaupun payah kerana itulah jalan menuju ke Jannah. Perjalanan hidup tak selalunya indah. Walau pahit dia harus redha dengan ketentuanNya dan menerima hakikat bahawa hubungannya dengan Hasbullah sudah berakhir.

Fatimah meraup mukanya dengan kedua belah telapak tangannya, lama. Duka silam cuba diusirnya jauh-jauh. Apalah diharap pada kenangan. Masa tidak boleh diputar kembali ke belakang. Apa yang penting pandang ke hadapan, membuka lembaran baru kehidupan. Demi maruah dan harga diri, dia perlu kuatkan semangat. Sudah banyak kuarganya berkorban demi untuk ’menghidupkannya’ kembali berdepan dengan realiti kehidupan. Masih banyak lagi perjuangan yang menanti, masih banyak lagi ranjau kehidupan yang perlu ditempuhi. Telah banyak air matanya dibazirkan selama ini. Untuk sekian kalinya lagu ’Menangislah Di Bahuku’ beralun-alun dalam hati Fatimah.


Menangislah …
Kadang manusia terlalu sombong tuk menangis
Lalu untuk apa air mata telah dicipta
Bukan hanya bahagia yang ada di dunia.

Jatuh bangun adalah resam kehidupan. Itulah harga kehidupan yang perlu dibayar saat manusia dilahirkan ke dunia. Ikrarnya, dia takkan jatuh untuk kali kedua. ”Argh!” Fatimah melontar rasa terkilan. Datang bersendirian, lantaran itu dia bebas melakukan apa sahaja. Dia bingkas keluar dari kereta. Kalaulah boleh, ingin sahaja dia campakkan duka lalu di dalam tong sampah tetapi Fatimah sedar dia mengharapkan sesuatu yang mustahil. Dibiarkan duka itu mengekori langkahnya, seperti bayang-bayang tidak boleh dipisahkan. Fatimah yakin suatu hari nanti duka itu akan larut dalam lautan masa. Ya.. suatu hari yang Fatimah tidak tahu entah bila. Sebelum saat masa itu tiba, dipenuhi hari-harinya itu dengan timbunan kerja, tanggungjawab kepada keluarga dan badan NGO yang disertainya (NISA’).

Langkah terus disusun menuju pintu masuk Bank Rakyat. Seperti biasa, rutin hariannya memberi salam kepada sesiapa saja yang berselisih dengannya. Ramai yang senang dengan sikap dan perwatakannya. Namun dalam kemesraaan itu, ada juga yang tidak senang dan dengki dengannya. Dia sudah bekerja di Bank Rakyat selama hampir 2 bulan setelah dia menamatkan latihan praktikalnya di situ. Pelbagai ragam manusia ditontonnya setiap hari. Baik dari pekerja mahupun pelanggan yang bertandang ke sini. Malahan ramai juga kenalan yang dia dapat ketika memulakan praktikalnya di sana seperti Kak Ina, Kak Zetty, Encik Mahfuz, Encik Zakaria dan yang paling rapat dengannya ialah Aishah. Mereka semua sangat peramah dan tidak prejudis terhadapnya seperti sesetengah mereka yang lain. Dia tidak pernah berasa terasing apabila bekerja di sana. Dia sangat bersyukur dan beruntung kerana sering menerima layanan yang baik ke mana saja dia pergi.

0 comments: